Pengilang: Kenyataan 'tayar celup' punca kemalangan tak adil

Persatuan Pengilang Tayar Celup Malaysia (TRMAM) menyifatkan kenyataan berhubung penggunaan 'tayar celup' penyumbang kepada kemalangan jalan raya di negara ini sebagai tidak adil.

Presidennya, Chin Hon Meng berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Kerja Raya Baru Bian baru-baru ini kerana semua syarikat di bawah TRMAM diiktiraf dengan MS 224: 2005 yang termaktub dalam Akta Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan pensijilan mandatori produk MS 224: 2005 untuk tayar celup juga telah diwartakan kerajaan pada Nov 2007.

"Pensijilan MS 224:2005 di mana ujian ketahanan dan prestasi tayar ini mematuhi piawaian MS1394:2017 dan ia bersamaan dengan European Commercial Vehicle Tyres Standards (ECE R109)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.



Chin berkata pihaknya juga berusaha menghubungi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mendapatkan maklum balas mengenai statistik kemalangan yang dikeluarkan tetapi tidak berjaya.

"Semua komen negatif mengenai tayar celup dibuat tanpa objektif dan pengetahuan teknikal dan meletakkan segala kesalahan kepada trak, bas atas kegagalan tayar celup atas tidak munasabah," katanya.

Beliau berkata penguatkuasaan yang tegas mesti dilakukan dari semasa ke semasa untuk memantau kewujudan kilang tayar celup yang menghasilkan produk yang tidak memenuhi pengiktirafan Malaysia Standard (MS) atau kilang haram yang masih beroperasi sehingga kini.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran kami telah dibanjiri dengan tayar lori dan bas import yang murah dan berkualiti rendah untuk kenderaan komersial dan ini mendatangkan masalah bukan sahaja kepada kami yang diiktiraf dengan pensijilan malah kehadiran kilang haram ini juga membahayakan nyawa pengguna jalan raya," katanya lagi.




Beliau menambah, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kegagalan tayar di atas jalan raya khususnya kepada tayar lori atau bas sama ada tayar celup atau baru.

"Antaranya, kurang tekanan angin tayar di mana 'under-inflation' akan menyebabkan lebihan beban kepada tayar walau beban yang dibawa adalah dibenarkan, sikap pemandu yang memandu secara melulu, keadaan jalan raya yang tidak rata, kurangnya penguatkuasaan pemantauan kilang haram dan wujudnya tayar lori dan bas murah dan tidak memenuhi piawaian," katanya.

Chin berkata tayar celup digunakan di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Singapura dan ada di antara pengeluar tayar melantik pengilang tayar celup bertauliah untuk menghasilkan tayar celup di bawah jenama mereka.

Jumaat lepas, Menteri Kerja Raya, Baru Brian dilaporkan berkata lebih 10,000 kes kemalangan di negara ini adalah berpunca daripada penggunaan tayar celup. -- Bernama

Sumber