KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Persatuan Pengeluar Tayar Celup Malaysia (TRMAM) mahu duti import bingkai tayar atau tayar terpakai dimansuhkan untuk kebaikan industri itu.
Langkah itu akan banyak membantu apabila duti import tayar baharu, diturunkan secara beransur-ansur selari dengan syarat pengurangan tarif Asean+3 dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), apabila lebih banyak tayar dari China membanjiri pasaran, katanya.
Ini menjadi lebih ketara berdasarkan terdapat hanya dua pengilang tayar yang mengeluarkan tayar jejarian komersil dalam negara manakala tayar import menyumbang peratusan besar penggunaan tayar komersil baharu Malaysia, katanya dalam satu memorandum kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pada sesi dialog tahunan, di sini.
Pada masa ini import tayar/bingkai terpakai yang diimport, tertakluk kepada 30 peratus duti import, dan 10 peratus cukai jualan, tanpa mengambil kira sumbernya, kata TRMAM.
Sebagai bandingan, tayar baharu yang diimport dari negara anggota Kawasan Dagangan Bebas Asean (AFTA) tertakluk kepada lima peratus duti import, dan 10 peratus cukai jualan.
Tayar baharu yang diimport dari negara bukan AFTA dikenakan 40 peratus duti import dan 10 peratus cukai jualan, katanya.
"Jika kesulitan import bingkai dan kos bingkai, tayar celup digantikan dengan tayar baharu, antara implikasi negatif terhadap ekonomi negara ialah ia dijangka meningkatkan kerugian kos tukaran asing untuk pengimportan tayar baharu.
"Lebih kritikal lagi, kos pengangkutan tayar akan meningkat, khususnya dari segi kos sekilometer," katanya.
Oleh itu, kos pengangkutan pasti akan meningkat dan impak negatif selanjutnya ialah inflasi dan keseluruhan ekonomi akan menjadi lebih ketara, kata persatuan itu.
Penggunaan tahunan tayar komersil di Malaysia dianggarkan sebanyak 600,000 unit tayar baharu dan 1.1 juta unit tayar celup.
Industri tayar celup Malaysia pada jumlah keseluruhannya menggunakan kira-kira 16,500 tan metrik getah asli setiap tahun, satu sumbangan yang signifikan terhadap industri getah.
-- BERNAMA